Haruman pagi ini amat memberangsangkan.
Penyaksian sebuah temasya semalaman yang melarut sehingga subuh ini meninggalkan aku dengan deria yang tidak seberapa. Namun, jiwaku masih terang...dan tenang. Aku dapat merasakan perbedaan pagi ini. Seindah biasanya, mungkin. Atau lebih dari itu?
Melihat sinaran suria pagi ini, terukir sebuah harapan yang direstui.
Aku tersenyum.
Apa gunanya hari yang penuh bermakna ini jika tidak dikongsi bersama sahabat-sahabat karibku? Pemilihan makanan tidak lagi berapa penting hari ini. Pemilihan sebenar telah dibuat.
Kami berkeputusan untuk berkunjung ke Kenny Rogers Roasters. Kesunyian dan keselesaan restoran ini amat sesuai bagi kita untuk mengulas kematangan tayangan hidup semalam.

Kenny's Quarter (RM14.90) terdiri daripada sesuku potongan ayam panggang yang dialas dengan sos lada hitam, 3 jenis pilihan sajian sampingan (salad tomato/timun/bawang, coleslaw dan keju/makaroni) dan pencuci mulut. Kurang menarik. Begitulah gambaran yang dapat diberikan mengenai ayam panggang di sini. Namun, kulitnya patut dipuji kerana cukup berperisa dan ranggup. Sosnya pula agak tawar. Tetapi, apa yang menjadi tumpuan kebanyakan pengunjung di sini adalah kepelbagaian pilihan sajian sampingannya. Coleslaw yang terdiri daripada cebisan kobis, lobak dan bawang dan dibanjiri sos masam/manis yang agak berlemak menjadi kesukaan penulis ini. Keju/makaroni dan salad merupakan cubaan pertama. Agak berperisa. Cubaan yang tidak sia-sia. Tak rugi kita mencuba, bukan?

Pencuci mulut terdiri daripada Kenny's Home-made Muffin dan perisa pisang/bjii kismis menjadi pilihan. Cukup manis dan teksturnya pula tidak berketul-ketul. Kerinduan pada muffin perisa jagung masih dirasai.
Di dalam keadaan yang begitu aman pada hari ini, kami juga sempat menonton 10,000 BC yang cuba membawa mesej yang agak bermotivasi (dan sesuai dengan situasi kini). Namun, sesetengah adegan masih menjadi bahan ketawa kami.
Sememangnya makanan dan cerita hari ini kurang menarik. Seperti kesunyian jalan-jalan yang dirasai...pada hari ini. Tetapi apa yang dijanjikan pada masa hadapan adalah sebuah harapan. Harapan yang boleh memimpin kita ke arah kecemerlangan hidup. Dan jangan kita lupa bahawa kepimpinan itu cuma pendorong dan kewarasan serta kematangan minda masih menentukan arah tujuan hidup kita.
Untuk maklumat lanjut mengenai restoran ini, sila layari halaman berikut:
http://www.krr.com.my/
* The above post was written in Bahasa Malaysia to commemorate the significance of the 12th Malaysian General Elections held on the 8th of March 2008.